AMANAT UNTUK ANAK WATAN

"Wahai anak-anak bangsa, perjuangan kalian bersama tanggungjawab besar baru bermula maka tetapkanlah hati, kuatkan azam dan semangat, luruskan niat, sesungguhnya kalian adalah harapan kami di SEMASA dan SAIL, harapan Ummah, harapan ibubapa kalian dan harapan ibu pertiwi. Bangunlah untuk kesejahteraan, jangan mundur ke belakang dan jangan sesekali berputus asa, kami senantiasa di belakang menopang bahu-bahu kami untuk tempat berpijak kalian semua dalam meraih kejayaan"
Memaparkan catatan dengan label Perihal Sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perihal Sekolah. Papar semua catatan

Jumaat, 29 Januari 2010

SEMASA Dalam Sejarah 4

Mulai tahun1975 sekolah ini telah menjadi tumpuan pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran Sains Pertanian dari SMK Dato' Maharajalela, Kampung Gajah dan SMK Dato Sagor, Langkap. Untuk menempatkan pelajar-pelajar ini, pembinaan sebuah Asrama Putera dan Asrama Puteri yang boleh menampung seramai 60 pelajar lelaki dan 60 pelajar perempuan telah mula dibina pada tahun 1979 dan siap pada tahun 1981. Asrama ini telah digunakan pada 27 April 1981.

Selain daripada itu, bagi menampung bilangan dan keperluan pelajar yang semakin meningkat, sebuah bangunan tambahan yang mengandungi 8 bilik darjah, 3 buah makmal sains, 2 buah tandas guru dan beberapa buah stor telah siap dibina pada tahun 1981. Bangunan tersebut telah digunakan pada penggal kedua persekolahan 1981.

Perkembangan yang begitu pesat dalam bidang pendidikan turut dialami oleh sekolah ini. Pada tahun 80-an dua buah bangunan kilat telah didirikan di sekolah ini. Pada tahun 1990 Jabatan Pendidikan telah menempatkan sebuah Kelas Rancangan Khas Agama dan diteruskan hingga ke hari ini.

Sekolah ini juga telah mencapai kejayaan demi kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum mahupun bidang kokurikulum. Pernah menjadi juara dalam beberapa kegiatan seperti kuiz, tahfiz, tilawah dan permainan di peringkat daerah atau negeri hingga ke hari ini.

Sumber: Majalah SEMASA, jilid ke-13, 2008

Isnin, 18 Januari 2010

Barisan Pemimpin Yang Banyak Berjasa

PENGETUA-PENGETUA SMK SULTAN ABDULLAH
Jasamu dikenang



1968 - 1971EN. ABDUL RAHMAN BIN BASIR
1971 - 1974EN. AHMAD BIN JAAFAR
1974 - 1979EN. YAHYA BIN OTHMAN
1980 - 1982EN. HUSIN BIN KAMDI
1982 - 1986EN. KHAIRUDDIN BIN ARSHAD
1986 - 1988EN. AZHARI BIN ARBI
1988 - 1989EN. IBRAHIM BIN JUSOH
1989 - 1993EN. ALI SHIBRANULISI HJ. MOHD SABRAH
1993 - 1994EN. ZAINAL KHATIB BIN YUNUS
1994 - 1995EN. ABDUL KADIR BIN MAT YUSOK
1995 - 2001EN. MARWAN BIN SALIMAN
2001 - 2006PN. HJH NORMAH BT. MOHAMMAD
2006 - 2009PN. HJH SITI RADZIAH BT.HUSSEIN
2009 hingga kiniEN. MOHD RADZI BIN ISMAIL

Sabtu, 16 Januari 2010

SEMASA Dalam Sejarah 3


DARI SEKOLAH MENENGAH RENDAH
KE SEKOLAH MENENGAH SULTAN ABDULLAH

Sejak penubuhannya, sekolah ini adalah Sekolah Menengah Rendah yang menjadi cawangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Anson. Dengan wujudnya sebuah kelas Tingkatan Empat pada tahun 1969, nama sekolah ini turut berubah dari Sekolah Menengah Rendah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Chenderong Balai.

Pada tahun 1972, pembinaan bangunan-bangunan tambahan telah dimulakan. Ia terdiri daripada sebuah bangunan Bengkel Seni Perusahaan dan sebuah bangunan yang mengandungi sebuah Makmal Sains san 4 buah bilik darjah. Pembinaannya telah siap pada tahun 1975 dan mula digunakan pada tahun 1976. Pada tahun 1977 sebuah bangunan papan telah dibina untuk pemeliharaan ayam daging bagi pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran Sains Pertanian. Pendaftaran Sekolah Menengah Kebangsaan Chenderong Balai telah diluluskan pada 18 Januari 1974. Setelah setahun berlalu, pada 30 April 1975, PIBG sekolah ini telah memohon kepada Jabatan Pendidikan Perak supaya nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Menengah Sultan Abdullah. Pendaftarannya telah diluluskan dan mulai 1976 sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sultan Abdullah, Chenderong Balai.

Sumber: Majalah SEMASA, jilid ke-13, 2008

Rabu, 6 Januari 2010

SEMASA Dalam Sejarah 2

PERKEMBANGAN SMKSA/SEMASA

Oleh kerana sekolah ini tidak memiliki bangunan sendiri, maka dua buah kelas Tingkatan Dua dan sebuah kelas Tingkatan Satu telah ditempatkan di Madrasah Islahiyyah Simpang Empat Balai Polis. Dua buah kelas lagi iaitu Tingkatan Satu masih ditempatkan di bangunan Rumah UMNO Chenderong Balai.


Bagi mengatasi keadaan yang serba rumit ini dan pelajar dapat mengecapi alam persekolahan yang sebenarnya, kerajaan telah meluluskan peruntukan sejumlah $300 000.00 untuk pembinaan dua buah bangunan yang mengandungi 15 buah bilik darjah, 2 buah makmal sains, 2 buah bilik Ekonomi Rumah Tangga, 2 buah tandas pelajar, 2 buah tandas guru, sebuah pejabat, 2 buah stor dan sebuah kantin.


Pada tanggal 1 Ogos 1967 bermulalah kerja-kerja pembinaan tersebut di atas sebidang tanah seluas 8 ekar, berhampiran Pusat Kesihatan Kecil Chenderong Balai. Bangunan kelas-kelas sementara telah berpindah ke bangunan baru tersebut. Pada tahun 1968 seramai 66 orang pelajar kumpulan pertama dari sekolah ini yang menduduki peperiksaaan SRP. Pada tahun 1969 sebuah kelas Tingkatan Empat telah dibuka dan pada tahun 1970 seramai 45 pelajar Tingkatan Lima telah menduduki peperiksaan SPM.

Sumber: Majalah SEMASA, jilid ke-13, 2008

Selasa, 29 Disember 2009

SEMASA Dalam Sejarah 1

Tanggal 18 Disember 1965, dalam satu persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Chenderong Balai, bangkit suara-suara hasil kesedaran dan keinsafan, juga pandangan jitu lagi padu merenung jauh ke arah masa hadapan dan kemajuan anak-anak bangsa dalam pendidikan.

Kita harus bersyukur kepada Allah SWT, kita juga patut mengenang dan menghargai jasa dan usaha Pemuda UMNO Chenderong Balai yang merintis jalan dan berjuang ke arah penubuhan sebuah institusi pendidikan untuk anak-anak bangsa di daerah ini. Pada hari ini dan hari-hari yang mendatang anak-anak yang kehausan ilmu dapat mengecapi kesenangan dan kemudahan dalam menimba ilmu di gedung yang teguh dan indah ini;

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SULTAN ABDULLAH, CHENDERONG BALAI, PERAK DARUL RIDZUAN

Sumber: Majalah SEMASA, jilid ke-13, 2008

Rabu, 23 Disember 2009

Lagu Yang Sentiasa di Hati

Lagu SMK Sultan Abdullah
Teguh indah bersemi,
Menjadi lambang sejati,
Seia, sekata dan bersatu hati,
SMSA gagah berdiri.


Bertekad dan berjaya,
Dan berazam mencapai cita,
Bakti disemai dan janji ditunai,
SMSA kan permai.


Bersama kita berusaha,
Tuntut ilmu gembleng tenaga,
Tekun, tabah dan bertakwa,
Diberkati yang Maha Kuasa.


Berdikari dan berusaha,
Dan berbakti pada semua,
Agama, bangsa, negara tercinta,
Kami tumpahkan setia


Sumber: Majalah SEMASA, jilid ke-13, 2008

Misi Sekolah

SMKSA Chenderong Balai bertekad mendidik dan membimbing secara menyeluruh dan bersepadu berdasarkan keyakinan dan kepatuhan kepada Tuhan bagi melahirkan insan seimbang, bertanggungjawab, berilmu pengetahuan, mengamalkan nilai-nilai murni dan sanggup berusaha, berdikari dan berbakti kepada Agama, Bangsa dan Negara. Justeru, kami warga SMKSA akan berusaha menyediakan pelajar-pelajar yang berkualiti dan cemerlang selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara.

Sumber: Majalah SEMASA, jilid ke-13, 2008

Visi SEMASA

Wawasan SMKSA Chenderong Balai adalah:
"Dengan izin Allah, SMKSA menuju ke arah Sekolah cemerlang dan Terbilang"


Sumber: Majalah SEMASA, jilid ke-13, 2008